Saturday, March 20, 2010

RAWATAN UNTUK KULIT MULUS




Saya sering diajukan soalan tentang cara mendapatkan kulit yang cantik. Saya mentakrifkan kulit yang cantik adalah kulit yang mulus dan bersih. Bagi mendapatkan kulit yang cantik seseorang perlu mengamalkan gaya hidup sihat. Jauhilah tabiat merokok dan minuman keras. Amalkan senaman dan pengambilan vitamin. Paling penting rajin-rajinlah merawat kulit anda.

Mengenali kulit

Kulit mempunyai tiga lapisan iaitu epidermis dermis dan tisu subcutaneous yang berlemak.

Epidermis adalah lapisan paling atas yang nipis. Ketebalan epidermis berbeza-beza mengikut kedudukan dan taburannya pada tubuh kita. Misalnya epidermis pada tapak tangan dan kaki lebih tebal berbanding epidermis kulit pada badan. Yang paling nipis adalah epidermis pada kelopak mata. Epidermis terbentuk daripada beberapa lapisan dengan yang teratas sekali dipanggil stratun corneum.

Stratum corneum dipenuhi sel-sel mati yang amat halus dan sukar dilihat oleh mata kasar. Sel-sel ini akan disingkirkan setiap hari. Ada kalanya ia banyak dan dilihat seperti kulit mengelupas. Bagi pengguna produk pengelupasan, apa yang disingkirkan adalah sel-sel epidermis ini. Proses pengelupasan haruslah mengikut prosedur dan sukatan yang betul. Andai bahan kimia yang digunakan adalah toksik dan boleh merosakkan sel. maka seluruh epidermis akan rosak dan tidak mampu dipulihkan sepenuhnya. Kulit akan tampak tidak sekata dan kehitaman disebabkan pigmentasi.

Lapisan kedua dikenali sebagai malphigian. Ia adalah lapisan sel-sel separuh matang yang mengeluarkan sel-sel bagi lapisan teratas. Sel melanocytes pula merupakan sel yang mengeluarkan warna kulit. Warna kulit yang gelap terhasil apabila kita berjemur di bawah matahari kerana sel melanocyte akan menjadi aktif apabila terkena pancaran matahari. Sebenarnya ini adalah proses pertahanan kulit kita terhadap ancaman matahari. Namun begitu sel melanosyte yang terlalu aktif akan menyebabkan kulit terlalu hitam atau pigmentasi. Bila ia kurang aktif kulit tampak keputihan seperti yang terjadi kepada pesakit sopak atau albino.

Lapisan ketiga adalah dermis. Ia mengandungi protein dipanggil kolagen yang memberikan keanjalan kulit. Ia merupakan satu tisu kompleks yang mengandungi salur darah, lymphatic, saraf, kelenjar, sel-sel rambut dan pelbagai sel lain yang berfungsi dengan unik bagi menstabilkan kulit.

Lapisan paling bawah adalah lelemak pada kulit. Lelemak ini penting bagi memberi kontur yang cantik pada wajah. Cuba lihat individu yang tiada lemak pada pipi. Pipinya kelihatan kecut dan tidak manis di pandang. Bak kata orang orang tua 'hidung tak mancung pipi pula tersorong-sorong'. Pepatah itu menunjukkan seseorang akan tampak tidak manis bila pipinya kecut.

Kelenjar pada kulit pula terdapat tiga jenis iaitu kelenjar apokrin yang taburannya pada kawasan berambut seperti ketiak dan genitalia. Ia mengeluarkan bau badan seseorang. Kelenjar sebaceous yang mengeluarkan sebum dan pelincir tubuh. Taburannya pada seluruh tubuh kecuali pada tapak tangan dan kaki.

Kelenjar ekrin pula adalah kelenjar peluh yang berfungsi menseimbangkan garam dan air dalam badan kita.