Monday, February 15, 2010

RAWATAN KULIT WANITA ASIA

 
 
JERAWAT adalah sesuatu yang biasa berlaku dan tidak mengancam nyawa. Namun, kehadirannya bagaikan mimpi ngeri kepada golongan wanita yang mementingkan kecantikan kulit, terutamanya kulit muka.

Bagi sesetengah wanita, ton warna sekata dan kulit bersinar adalah lebih penting daripada nilai wang ringgit. Namun, tidak kurang juga yang menjadi mangsa kerana tersalah pilih cara untuk merawat kulit muka sehinggakan keadaan kulit menjadi lebih teruk berbanding sebelumnya.

Perkara pertama yang perlu difahami di sini adalah mekanisme dan punca jerawat berlaku di samping kaedah rawatan terbaik untuk mengatasinya dan mengekalkan kesihatan kulit.

Jerawat boleh terbentuk melalui empat mekanisme utama iaitu :

Kelenjar minyak menjadi besar (hipertropi) dengan peningkatan penghasilan sebum akibat rangsangan hormon androgen.

Folikel pilosebaceous yang tersumbat memerangkap nutrien dan sebum serta menggalakkan pertumbuhan kuman yang cepat seperti bakteria propionibacterium acnes.

Kulit menjadi tebal (hiperkeratosis) dan pertumbuhan sel-sel yang cepat mengisi ruang folikel pilosebaceous (plugepitelium folikular).

Inflamasi (radang) akibat hasil sampingan kuman propionibacterium acnes.

Pakar Perubatan Am & Dermatologi Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam, Dr. Noraziah Abdul Kadir Jailani menjelaskan, masalah jerawat berpunca daripada kombinasi beberapa faktor seperti keturunan, hormon, jangkitan, psikologi dan bahan kimia.

Hormon testesteron boleh menyebabkan aktiviti kelenjar sebum terlalu aktif sementara kajian menunjukkan 45 hingga 82 peratus individu yang menghadapi masalah jerawat mempunyai ahli keluarga dengan masalah serupa.

“Selain bakteria Propionibacterium acnes yang membiak pada permukaan kulit, bahan kimia kosmetik seperti iodide, bromit, litium dan setengah ubat juga boleh menyebabkan jerawat,” katanya.

Menurut beliau, faktor psikologi juga memainkan peranan di mana stres kehidupan boleh merangsang pembentukan jerawat dengan lebih mudah. Faktor-faktor tersebut boleh menyebabkan beberapa jenis jerawat, mengikut berpunca daripada faktor dalaman atau faktor luaran.

RAWATAN

Menurut Dr. Noraziah, rawatan untuk mengatasi jerawat bergantung kepada jenis dan tahap keseriusannya.

“Jerawat yang ringan boleh dirawat dengan menggunakan krim seperti benzyl peroxide, azelic acid, isotretinoin dan adapalene, atau krim antibiotik seperti erythomycin dan clindamycine.”

“Jerawat yang sederhana dan serius pula akan memerlukan bahan selain krim, termasuk rawatan sistemik menggunakan ubat oral seperti antibiotik tetracyeline, doxycyeline atau minocyelina,” jelas beliau.

Dr. Noraziah menegaskan, masalah mungkin timbul dengan penggunaan antibiotik yang terlalu lama kerana boleh menyebabkan kuman punca jerawat, Propionibacterium acnes, membentuk ketahanan (resistant) terhadap antibiotik tersebut.

Dr. Noraziah menyatakan pil hormon juga boleh digunakan sebagai rawatan untuk kaum wanita dengan masalah jerawat.

“Untuk jerawat yang serius, terdapat juga ubat khas yang dinamakan isotretinoin yang boleh digunakan.

“Ubat ini hanya boleh diperoleh melalui preskripsi pakar kulit bertauliah kerana ia mungkin mempunyai kesan sampingan jika disalahgunakan,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment