Saturday, March 20, 2010

RAWATAN UNTUK KULIT MULUS




Saya sering diajukan soalan tentang cara mendapatkan kulit yang cantik. Saya mentakrifkan kulit yang cantik adalah kulit yang mulus dan bersih. Bagi mendapatkan kulit yang cantik seseorang perlu mengamalkan gaya hidup sihat. Jauhilah tabiat merokok dan minuman keras. Amalkan senaman dan pengambilan vitamin. Paling penting rajin-rajinlah merawat kulit anda.

Mengenali kulit

Kulit mempunyai tiga lapisan iaitu epidermis dermis dan tisu subcutaneous yang berlemak.

Epidermis adalah lapisan paling atas yang nipis. Ketebalan epidermis berbeza-beza mengikut kedudukan dan taburannya pada tubuh kita. Misalnya epidermis pada tapak tangan dan kaki lebih tebal berbanding epidermis kulit pada badan. Yang paling nipis adalah epidermis pada kelopak mata. Epidermis terbentuk daripada beberapa lapisan dengan yang teratas sekali dipanggil stratun corneum.

Stratum corneum dipenuhi sel-sel mati yang amat halus dan sukar dilihat oleh mata kasar. Sel-sel ini akan disingkirkan setiap hari. Ada kalanya ia banyak dan dilihat seperti kulit mengelupas. Bagi pengguna produk pengelupasan, apa yang disingkirkan adalah sel-sel epidermis ini. Proses pengelupasan haruslah mengikut prosedur dan sukatan yang betul. Andai bahan kimia yang digunakan adalah toksik dan boleh merosakkan sel. maka seluruh epidermis akan rosak dan tidak mampu dipulihkan sepenuhnya. Kulit akan tampak tidak sekata dan kehitaman disebabkan pigmentasi.

Lapisan kedua dikenali sebagai malphigian. Ia adalah lapisan sel-sel separuh matang yang mengeluarkan sel-sel bagi lapisan teratas. Sel melanocytes pula merupakan sel yang mengeluarkan warna kulit. Warna kulit yang gelap terhasil apabila kita berjemur di bawah matahari kerana sel melanocyte akan menjadi aktif apabila terkena pancaran matahari. Sebenarnya ini adalah proses pertahanan kulit kita terhadap ancaman matahari. Namun begitu sel melanosyte yang terlalu aktif akan menyebabkan kulit terlalu hitam atau pigmentasi. Bila ia kurang aktif kulit tampak keputihan seperti yang terjadi kepada pesakit sopak atau albino.

Lapisan ketiga adalah dermis. Ia mengandungi protein dipanggil kolagen yang memberikan keanjalan kulit. Ia merupakan satu tisu kompleks yang mengandungi salur darah, lymphatic, saraf, kelenjar, sel-sel rambut dan pelbagai sel lain yang berfungsi dengan unik bagi menstabilkan kulit.

Lapisan paling bawah adalah lelemak pada kulit. Lelemak ini penting bagi memberi kontur yang cantik pada wajah. Cuba lihat individu yang tiada lemak pada pipi. Pipinya kelihatan kecut dan tidak manis di pandang. Bak kata orang orang tua 'hidung tak mancung pipi pula tersorong-sorong'. Pepatah itu menunjukkan seseorang akan tampak tidak manis bila pipinya kecut.

Kelenjar pada kulit pula terdapat tiga jenis iaitu kelenjar apokrin yang taburannya pada kawasan berambut seperti ketiak dan genitalia. Ia mengeluarkan bau badan seseorang. Kelenjar sebaceous yang mengeluarkan sebum dan pelincir tubuh. Taburannya pada seluruh tubuh kecuali pada tapak tangan dan kaki.

Kelenjar ekrin pula adalah kelenjar peluh yang berfungsi menseimbangkan garam dan air dalam badan kita.
 
 

Monday, February 15, 2010

BAHAYA SINARAN UV

 
  
  
  
  
  
  

RAWATAN KULIT WANITA ASIA

 
 
JERAWAT adalah sesuatu yang biasa berlaku dan tidak mengancam nyawa. Namun, kehadirannya bagaikan mimpi ngeri kepada golongan wanita yang mementingkan kecantikan kulit, terutamanya kulit muka.

Bagi sesetengah wanita, ton warna sekata dan kulit bersinar adalah lebih penting daripada nilai wang ringgit. Namun, tidak kurang juga yang menjadi mangsa kerana tersalah pilih cara untuk merawat kulit muka sehinggakan keadaan kulit menjadi lebih teruk berbanding sebelumnya.

Perkara pertama yang perlu difahami di sini adalah mekanisme dan punca jerawat berlaku di samping kaedah rawatan terbaik untuk mengatasinya dan mengekalkan kesihatan kulit.

Jerawat boleh terbentuk melalui empat mekanisme utama iaitu :

Kelenjar minyak menjadi besar (hipertropi) dengan peningkatan penghasilan sebum akibat rangsangan hormon androgen.

Folikel pilosebaceous yang tersumbat memerangkap nutrien dan sebum serta menggalakkan pertumbuhan kuman yang cepat seperti bakteria propionibacterium acnes.

Kulit menjadi tebal (hiperkeratosis) dan pertumbuhan sel-sel yang cepat mengisi ruang folikel pilosebaceous (plugepitelium folikular).

Inflamasi (radang) akibat hasil sampingan kuman propionibacterium acnes.

Pakar Perubatan Am & Dermatologi Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam, Dr. Noraziah Abdul Kadir Jailani menjelaskan, masalah jerawat berpunca daripada kombinasi beberapa faktor seperti keturunan, hormon, jangkitan, psikologi dan bahan kimia.

Hormon testesteron boleh menyebabkan aktiviti kelenjar sebum terlalu aktif sementara kajian menunjukkan 45 hingga 82 peratus individu yang menghadapi masalah jerawat mempunyai ahli keluarga dengan masalah serupa.

“Selain bakteria Propionibacterium acnes yang membiak pada permukaan kulit, bahan kimia kosmetik seperti iodide, bromit, litium dan setengah ubat juga boleh menyebabkan jerawat,” katanya.

Menurut beliau, faktor psikologi juga memainkan peranan di mana stres kehidupan boleh merangsang pembentukan jerawat dengan lebih mudah. Faktor-faktor tersebut boleh menyebabkan beberapa jenis jerawat, mengikut berpunca daripada faktor dalaman atau faktor luaran.

RAWATAN

Menurut Dr. Noraziah, rawatan untuk mengatasi jerawat bergantung kepada jenis dan tahap keseriusannya.

“Jerawat yang ringan boleh dirawat dengan menggunakan krim seperti benzyl peroxide, azelic acid, isotretinoin dan adapalene, atau krim antibiotik seperti erythomycin dan clindamycine.”

“Jerawat yang sederhana dan serius pula akan memerlukan bahan selain krim, termasuk rawatan sistemik menggunakan ubat oral seperti antibiotik tetracyeline, doxycyeline atau minocyelina,” jelas beliau.

Dr. Noraziah menegaskan, masalah mungkin timbul dengan penggunaan antibiotik yang terlalu lama kerana boleh menyebabkan kuman punca jerawat, Propionibacterium acnes, membentuk ketahanan (resistant) terhadap antibiotik tersebut.

Dr. Noraziah menyatakan pil hormon juga boleh digunakan sebagai rawatan untuk kaum wanita dengan masalah jerawat.

“Untuk jerawat yang serius, terdapat juga ubat khas yang dinamakan isotretinoin yang boleh digunakan.

“Ubat ini hanya boleh diperoleh melalui preskripsi pakar kulit bertauliah kerana ia mungkin mempunyai kesan sampingan jika disalahgunakan,” jelasnya.

Friday, February 12, 2010

PSORIASIS PENYAKIT KULIT BERSISIK


Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

JIWA tertekan, malu, rasa rendah diri dan jemu untuk mendapatkan rawatan adalah gejala biasa yang dialami pesakit psoriasis. Ketika penyakit menyerang, kalau boleh kebanyakannya mahu duduk berkurung dalam rumah supaya tidak menjadi tumpuan masyarakat yang tidak faham keperitan dan tekanan dirasai.

Bila penyakit menyerang, kulit pesakit menjadi berbintik atau bertompok merah, membengkak dan kulit pada bahagian berkenaan menebal dan keras. Ada kalanya tompokan sel ini berubah menjadi hitam akibat kehadiran melanin.

Dalam masa beberapa hari, kulit yang tebal itu menjadi tua dan apabila sel mati, ia tertanggal sendiri sebagai kepingan putih berkilat. Bahagian kulit yang tebal ini juga terasa gatal dan panas seolah-olah terbakar.

Ada juga yang merekah dan berdarah apabila bahagian ini diregangkan, terutama jika ia menyerang kulit pada sendi seperti lutut, siku dan tangan. Psoriasis adalah penyakit kulit bersisik yang disebabkan kecelaruan sistem imun badan.

Ia juga dipanggil penyakit kulit poliferatif atau ketumbuhan benigna dan kronik yang bermaksud ‘gatal’ dalam bahasa Yunani.

Ketidaknormalan fungsi sel darah putih (sel limfosit T) mencetuskan keradangan dan gerak balas imun pada kulit. Bagi kulit normal, proses penggantian kulit berlaku secara perlahan-lahan dan mengambil masa 28 hingga 30 hari sebelum sel mati ini tanggal daripada badan.
Dalam kes psoriasis, kecelaruan sistem imun badan ini menghantar isyarat untuk mempercepatkan proses kitaran kulit kepada tiga hingga enam hari saja. Ini menyebabkan kulit sel kulit membahagi dengan cepat (secara berlebihan atau dipanggil poliferasi).

Sel kulit ini bertindih antara satu sama lain sehingga menyebabkan terbentuknya timbunan sel dan ia kelihatan seperti sisik dan tompokan keradangan tebal pada kulit. Tompokan sel ini tidak mendapat cukup bekalan darah dan ia mati dalam masa beberapa hari saja.

Apabila sel ini mati dan kering, ia menggelupas menjadi kepingan putih berkilat. Biasanya kepingan kulit kering ini tanggal sendiri, tetapi jika dipaksa (dikopek), ia menyebabkan luka.

Psoriasis boleh berlaku di mana-mana saja termasuk di kulit kepala, kemaluan, punggung, kaki atau belakang badan. Walaupun ia tidak menjangkiti orang lain, keadaan pesakit dan cebisan kulit yang tertanggal membuatkan ramai berasa tidak senang untuk duduk bersama mereka.

Menurut Pensyarah Pusat Pengajian Biosains dan Boteknologi, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Azimahtol Hawariah Lope Pihie, psoriasis boleh dibahagikan kepada tujuh jenis tetapi empat jenis paling biasa ialah vularis, postularis, plak dan pustular. Semua jenis psoriasis ini dikelaskan mengikut bentuk dan sifat fizikalnya.

Psoriasis adalah penyakit keturunan, wujud dalam genetik tetapi ia boleh dirangsang beberapa faktor lain seperti tekanan emosi, kecederaan kulit, jangkitan, tindak balas badan terhadap ubat tertentu, cuaca dan alahan terhadap makanan.

Dianggarkan 10 hingga 15 peratus pesakit mula mengalami masalah kulit sebelum berumur 10 tahun dan tahap serangan psoriasis ditentukan berdasarkan keadaan fizikal dan keluasan kulit yang mengalami keradangan.

Serangan psoriasis ringan jika hanya membabitkan kurang daripada dua peratus kulit, sederhana (tiga hingga 10 peratus) dan teruk jika lebih 10 peratus kulit mempunyai tompok merah. Malah, pesakit boleh menentukan keadaan penyakit dengan mengukur menggunakan tapak tangan. Satu tapak tangan dikira sebagai satu peratus.

Banyak kaedah boleh digunakan untuk merawat psoriasis antaranya kortikosteroid, vitamin D3, retinoid, antralin, tar arang, psoralen, methotrexate dan terapi sinar UVA. Bagaimanapun, sehingga kini belum ada ubat dapat menyembuhkan penyakit ini.

Kaedah terbaru ialah penggunaan krim herba yang dirumus daripada lima jenis halia liar ciptaan Profesor Azimahtol. Bahan aktif krim halia itu mampu menghentikan proses pembahagian sel dan mematikan sel berkenaan.

“Untuk kesan lebih baik, pesakit boleh menggunakan ubat klinik yang diberikan doktor untuk menanggalkan lapisan kulit tebal. Apabila lapisan itu tertanggal, baru disapu dengan krim halia ini sebanyak lima hingga tujuh kali sehari.

“Kesannya bergantung kepada keadaan setiap pesakit. Oleh kerana krim ini mempunyai bau kuat, pesakit disaran mengambil cuti beberapa hari untuk menjalani rawatan. Berdasarkan pengalaman 250 pesakit yang menggunakannya, biasanya ia mengambil masa antara lima hingga 14 hari untuk menunjukkan kesan.

“Selain mengandungi bahan aktif yang boleh menghentikan pembahagian sel, krim halia ini mempunyai ciri anti alahan, anti fungus, anti bakteria dan anti melanin. Ini kerana pesakit juga biasanya mengalami masalah alahan, mudah dijangkiti fungus terutama pada kuku, mendapat jangkitan bakteria dan badan mengeluarkan banyak melanin yang menyebabkan plak psoriasis menjadi hitam,” katanya yang menjalankan kajian fototerapeutik halia sejak 1997.

Bagi pesakit yang mengalami psoriasis pada kulit kepala, Profesor Azimahtol menyarankan krim ini dicampurkan dengan tonik rambut sebelum disapu rata pada kulit kepala. Malah, krim sama boleh digunakan bagi individu yang mengalami penyakit kulit lain seperti ekzema, kayap, kurap atau ruam lampin.

“Paling penting, jangan berputus asa. Allah menjanjikan setiap penyakit ada ubatnya. Usah disebabkan penyakit kita hilang keyakinan diri. Kadangkala kita perlu menggabungkan beberapa kaedah rawatan sebelum penyakit dapat dikawal dan disembuhkan,” katanya.